Tuesday, October 7, 2008

Imam Al-Ghazali

Assalamualaikum wbt

Posting ini saya tujukan khas utk Syeikh Islah al-Azhari. Ini adalah petikan dari artikel "Kekeliruan dan Buruk Sangka Penyebab Salah Tanggap" oleh Ust Mohd Abd Kadir bin Sahak.Saya edit sket2 yg tak berkaitan .
---------------------------------------
Ketika zaman Al-Ghazali misalnya, yang hidup ketika zaman tersebar luasnya pandangan-pandangan yang asing lagi jauh menyimpang dari al-Quran dan al-Sunnahi, ia datang dari golongan pelampau ahli kalam, falsafah dan tasawwuf, demikian juga golongan batiniyah. Semua ini sedikit sebanyak mempengaruhi cara fikir al-Ghazali. Kerana itu setelah beliau menyedari kepalsuan aliran-aliran tersebut, beliau cuba menolak dan menjauhinya. Jika dibaca sejarah al-Imam al-Ghazali, kita akan dapati beliau telah melalui beberapa fasa perubahan, dimana pandangan-pandangannya tentang tasawwuf dan ahli kalam di akhir hayatnya berbeza jika dibandingkan ketika awalnya.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila di akhir hayatnya beliau telah menulis kitab Iljam al-‘Awam ‘an ‘Ilmi al-Kalam. Di dalam kitabnya itu, beliau sendiri telah mengkritik ilmu kalam, menjelaskan kepalsuannya,menyokong akidah salaf dan menegaskan kebenaran itu adalah berdasarkan mazhab al-Salaf, dan sesiapa yang menyalahinya merekalah pembuat bid’ah. Di dalam Iljam al-‘Awam al-Ghazali menyebut : “Kebenaran itu adalah mazhab al-Salaf, dan sesiapa yang menyalahi mereka dalam perkara itu, merekalah pembuat bid’ah.” (Iljam al-‘Awam ‘an ‘Ilmi al-Kalam. m.s. 62).

Beliau di dalam kitab yang sama juga, dengan keras telah melarang dari melakukan takwilan dan menyeru kepada pengithbatan sifat Allah tanpa takwil yang boleh membawa kepada Ta’til. Beliau telah melakukan pengingkaran yang keras terhadap ahli kalam dan mensifatkan semua usul mazhab ahli kalam sebagai al-Bid’ah al-Mazmumah (bid’ah yang keji), dan ia menjadi sebab kemudharatan dan punca keburukan kepada umat Islam. (sila lihat fatwa al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid di lamanweb http://www.islam-qa.com)

Diriwayatkan juga tentang al-Ghazali, ketika di akhir hayatnya, beliau telah mempelajari hadith al-Bukhari dan Muslim dan menghafalnya dari Abu Sahl Muhammad Abdillah al-Hafsi dan mempelajari Sunan Abi Daud daripada al-Qadhi Abi al-Fath al-Hakimi al-Tusi (sila lihat Tobaqaat al-Subki 4/110). Al-Syeikh Safar al-Hawali di dalam salah satu kuliahnya
menyebut bahawa al-Ghazali ketika akhir hayatnya telah kembali kepada hadith Nabi saw dan beliau mati dalam keadaan kitab Sahih al-Bukhari berada di atas dadanya (sila lihat http://www.alhawali.com), ini semua sebagai syarat dari al-Ghazali yang ia telah meninggalkan fahaman-fahaman yang jauh dari panduan al-Sunnah dan kembali kepada al-sunnah dengan mempelajari hadith-hadith Nabi saw.

Jika demikian keadaannya, apa yang digusarkan sangat tentang kritikan terhadap al-Ghazali? Tambahan pula semua kritikan itu bukanlah bertujuan hendak menjatuhkan ketokohan
al-Ghazali, sebaliknya lebih kepada penjelasan wujudnya hadith-hadith yang tidak sahih di dalam beberapa kitabnya. Saya menerima alasan yang mengatakan kewujudan hadith-hadith lemah dan palsu di dalam karangan-karangan ulama silam berlaku secara tidak sengaja atau sedar. Sebahagian mereka sememangnya tidak bertujuan membohongi Rasulullah saw. Jika begini keadaanya, bagaimana pula kita yang sudah tahu kewujudan hadith-hadith lemah dan palsu itu, apakah patut kita biarkan sahaja, kemudian mentohmah orang lain yang menjelaskannya.

Bagi saya, sesiapapun tidak perlu gusar dan kalut apabila ada kritikan diajukan kepada mana-mana tokoh ataupun aliran. ini kerana tidak ada walau seorang tokoh, demikian juga tidak ada walau satu aliran yang maksum. Sebesar manapun ketokohan seseorang ia tetap tidak sunyi dari melakukan kesilapan.Ini kerana zaman ‘Ismah telah berlalu dengan kewafatan Nabi saw. Apabila kita menyedari hakikat ini, maka apalah yang hendak dikalutkan apabila ada mana-mana ulama yang dikritik ? Ulama juga manusia biasa, kadang-kadang mereka benar dan kadang-kadang mereka tersilap.

Apabila ada kritikan dilakukan terhadap mana-mana ulama dan aliran, maka kembalikanlah ianya kepada al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang diarahkan oleh Allah swt di dalam al-Quran dengan firmannya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu semua kepada Allah dan taatlah kamu semua kepada Rasul dan pemimpin di kalangan kamu, apabila kamu saling berbalah di dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (rujuk al-Quran) dan kepada al-Rasul (rujuk al-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat.” (al-Nisa : 59). Maka mana yang bertepatan dengan kedua-dua sumber ini kita ambil dan mana yang menyalahinya kita tinggalkan sejauh mungkin.

Yang sepatutnya bahkan wajib kita gusarkan ialah apabila ada sebahagian umat Islam yang menganggap kesilapan yang kadang-kadang dilakukan oleh segelintir ulama itu sebagai agama, mereka ambil untuk diamalkan dan diyakini. Dalam keadaan tidak ada orang agama yang berani menegurnya. Lalu ada sebahagian perkara yang bukan agama, tetapi dianggap agama oleh sebahagian orang awam.Untuk mengelakkan salah tanggap ini berlaku, seruan mengembalikan umat kepada sumber asal perlu dilakukan. Umat perlu disedarkan bahawa urusan agama perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Tidak ada sumber lain yang dijamin ketulenannya melainkan al-Quran dan al-Sunnah. Perkara yang tidak pasti dan palsu mesti dijauhkan.

Inilah tujuan utama penyelidikan hadith dan penyaringnya, iaitu untuk memastikan maklumat agama diambil dari sumber yang tulen. Inilah kerja yang dilakukan oleh ulama-ulama hadith dahulu mahupun sekarang, tidak bezanya. Apabila mereka menemukan adanya hadith-hadith yang lemah dan palsu di dalam karangan seseorang tokoh, menjadi kewajipan kepada kita menjauhi hadith yang lemah dan palsu itu dan mengambil apa-apa yang pasti sahaja.
Penemuan sesuatu hadith yang lemah mahupun palsu di sisi ulama hadith tidaklah sama seperti di alam kesufian tasawwuf. Sesuatu hadith dikatakan lemah ataupun palsu di sisi ulama hadith setelah dikaji dan diselidiki jalam periwayatannya dan segala yang berkaitan dengan ilmu al-Dirayah dan al-Riwayah. Malang, sedih dan lucu apabila ada orang yang tanpa segan mempertikaikan penemuan ulama hadith hanya dengan agakan dan berbagai andaian, kita sepatutnya berasa malu dengan kerja hodoh kita hendak mempertikaikan suatu penemuan (hadith) dari hasil penyelidikan, dengan hanya andaian dan barangkali. Tidak boleh juga hanya kerana hendak berbaik sangka dan merendah diri kepada ulama yang telah berbakti, lalu kita bisukan sahaja kesilapan yang sebenarnya dilakukan tanpa sengaja oleh ulama tersebut. Tindakan membisu sebegini tidak dinamakan rendah diri dan berbaik sangka lagi, sebaliknya tindakan sebegini adalah hasil dari pemikiran yang telah berkarat dengan taasub, kejahilan dan keangkuhan yang parah. Apakah kejahilan dan keangkuhan yang lebih dahsyat berbanding orang yang menolak hukuman hadith dengan alasan kosong, sedangkan ulama hadith telah menghabiskan usia mereka mengkajinya? Manakah pula buta yang lebih parah berbanding orang yang tidak sedar akan kedudukan dirinya ?

Jika diterima pandangan yang mengatakan ulama hadith itu diumpamakan sebagai orang yang mengumpulkan bahan mentah, dan ulama dari bidang yang lain pula berperanan memproses bahan mentah tersebut. Dalam situasi di atas apakah yang hendak kita katakan kepada orang yang melihat racun dalam himpunan bahan mentah, tapi mentulikan diri sahaja kerana rasa hormat dan rendah diri kepada tukang masak yang tidak menyedari keberadaan racun itu ? lalu mereka semua makan, mereka teracun diri sendiri dan meracuni orang ramai.

No comments: