Tuesday, November 18, 2008

Renungan & Nasihat yang Indah..buat kita & PendengarJauh

Kata-kata Syaikh Sa’id Ramadhan al-Buthi Ghazali rahimahullah berikut ini menjadi sumber renungan kita, baik Syi‘ah mahupun Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah:

Kita semua mengetahui bahawa sesuatu yang paling menonjol, paling penting, sekaligus paling jelas menyangkut buah cinta adalah keteladanan kepada siapa yang dicintai. (Bak kata pepatah):
“Sesungguhnya yang mencintai patuh kepada siapa yang dicintainya”.29.
Saya selalu melihat kepada hakikat yang pasti ini, saya menuntun diri saya dan setiap
muslim untuk melakukannya, apapun mazhab atau ragam keterikatannya. Saya tidak menemui seorang muslim yang bersikap jujur kepada Allah kecuali dia meneladani Ahl al-Bait dalam tingkah-laku dan perasaannya.

Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, seandainya ‘Ali karramahullahu wajhu30
mengambil satu sikap yang jelas berbeza pada hari Saqifah31, atau mengambil sikap demikian pada waktu penunjukkan ‘Umar sebagai khalifah oleh Abu Bakar, atau pada majlis syura yang atasnya ‘Utsman dibai‘ah, seandainya yang demikian itu terjadi, maka pastilah kita meninggalkan semua cara dan jalan, lalu kita mengikuti jalan yang ditempuh oleh ‘Ali.

Akan tetapi kami telah mengamati dan kami mendapati bahawa imam yang mulia itu (‘Ali) bersama-sama dalam fikiran dan tingkah-laku di atas kalimat yang menyatu-padukan umat, bersama-sama di atas jalan yang ditempuh oleh masyarakat umum. Oleh kerana itu mestilah cinta (yang sejati akan) menghantar kita kepada meneladani beliau dan menempuh jalan yang beliau telusuri.32

Dalam analisa ini, saya tidak memiliki sikap yang lain daripada perkataan saya di atas. Cukuplah bagi saya menemui ‘Ali yang telah berada pada jalur itu dan saya mengikutinya. Saya adalah seorang muslim. Tidak perlu saya melakukan analisa atau tertanya-tanya.

Saya tidak memiliki kepentingan untuk melemahkan Hadis al-Ghadir (yang bermaksud “Sesiapa yang aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya”), tidak juga mentakwilkannya atau menjauh dari lafaznya. Saya tidak memerlukan semua itu kerana saya telah menjadikan ‘Ali panutan saya dalam memahami hadis tersebut, bahkan dalam menafsirkan semua persoalan.33

Bukti dari apa yang saya katakan ini, bukti keteladanan yang saya rasakan kewajipannya
itu, adalah saya merasakan iman saya berkurang – bahkan terumbang-ambing lagi bergoncang – bila keteladanan kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak dipenuhi.
Majoriti kaum muslimin berpendapat bahawa Hadis al-Ghadir dan apa yang difahami dan
dikesan olehnya hanya berkaitan dengan peribadi ‘Ali, tidak selain beliau. Kaum muslimin dipersilakan untuk bersepakat memilih siapa yang mereka kehendaki (untuk menjadi khalifah).

Adapun saudara-saudara kami dari Syi‘ah, mereka memahami Hadis al-Ghadir sebagai
menunjuk kepada jawatan imam bagi ‘Ali dan berlanjutan – masih menurut hadis itu – kepada keluarga beliau sehingga ghaibnya imam ke-12.

Masa kini, betapapun pentingnya perbezaan pendapat itu, namun persoalannya telah
berlalu, telah tertutup. Ia telah menjadi sebahagian dari sejarah masa lampau. Masa kini, di mana kita berada dalam zaman ghaibnya imam ke-12 yang dinanti-nantikan oleh saudara-saudara kita dari kalangan Syi‘ah, saya menyatakan dengan sesungguhnya, saya menyatakan atas nama diri saya sendiri dan nama setiap muslim, bahawa:
Jika tiba masanya kehadiran imam yang ghaib itu, ketika beliau benar-benar datang –
tidak ada keraguan menyangkut kehadirannya, tidak ada kabut atau kerancuan menyangkut keperibadiannya – jika tiba masa itu, maka saudara-saudara semua akan mendapati kaum muslimin menganut satu mazhab sahaja. Mereka semua akan mempersembahkan kesetiaan kepada imam itu dan berbai‘ah kepadanya.34

Hal ini jika kita memandang ke masa depan. Jika kita memandang ke masa lampau, ke
belakang, maka saya memandang kepada ‘Ali di mana setiap orang dari ketiga-tiga khalifah sebelumnya menjadikan beliau sebagai penasihat, bahkan sebagai amir yang tidak bermahkota.

Saya menemui Abu Bakar radhiallahu 'anh yang bermaksud untuk berangkat memerangi.
kaum yang murtad. Lalu ‘Ali datang kepada beliau sambil memegang tali pacuan kudanya, dan berkata:

“Aku sampaikan kepadamu wahai khalifah Rasulullah apa yang disampaikan pada hari
peperangan Uhud – Jangan hunus pedang kamu (pergi berperang) dan bahagiakanlah kami dengan (kehadiranmu bersama-sama kami) kerana Demi Allah, seandainya kaum muslimin mendapat cubaan melalui dirimu (yakni gugurnya Abu Bakar di medan perang), maka kaum muslimin tidak akan tegak lagi sesudah pemergianmu itu.”


Mendengar nasihat ‘Ali itu, Abu Bakar membatalkan niatnya untuk berangkat dan melantik orang lain bagi memimpin pasukan (memerangi kaum murtad).

Saya memandang ‘Ali dan saya memandang Abu Bakar, ketika beliau meminta pandangan ‘Ali berkenaan ekspedisi ketenteraan ke Rom, lalu ‘Ali menjawab: “Saya merasakan anda (wahai Abu Bakar) adalah seorang yang diberkati, ditinggikan dan dimenangkan urusannya insya-Allah.”

Maka Abu Bakar merasa tenang, lalu mengikuti saranan ‘Ali dengan mempersiapkan pasukan ekspedisi itu.

Lihatlah juga pada masa pemerintahan ‘Umar radhiallahu 'anh. Bagaimana beliau meminta nasihat ‘Ali berkenaan dirinya memimpin pasukan ke Parsi. ‘Ali menasihatkan agar ‘Umar jangan meninggalkan pusat pemerintahan (Kota Madinah), bimbang jangan sampai musuh dalam negeri membuat kekacauan.

Saya juga menemui nasihat-nasihat ‘Ali kepada ‘Utsman radhiallahu 'anh, ketika para
pemberontak mengepung beliau, nasihat yang mustahil lahir kecuali dari hati yang ikhlas dan cinta. Saya juga menemui beliau menyuruh kedua-dua buah matanya – Hasan dan Husain radhiallahu 'anhuma – untuk menjaga ‘Utsman dari ancaman apapun yang mungkin menimpanya.

Ketika saya menemui semua sikap di atas pada ‘Ali, maka bagaimana saya hendak
menyatakan cinta saya kepada beliau? Saya tidak dapat menyatakan cinta itu kecuali dengan mengikuti langkah-langkah beliau, kecuali dengan berjalan pada jalan yang beliau telusuri.

Demi Allah! Sekali lagi saya ucapkan, seandainya ‘Ali karramallahu wajhu mengambil satu sikap yang jelas dan mandiri pada satu masa dari masa-masa kehidupannya, maka pastilah kita meninggalkan semua sikap dan bergabung sikap beliau itu.35


29 Sebagai contoh, orang yang benar-benar mencintai Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan hanya berselawat ke atas baginda sebagaimana yang baginda ajarkan, kerana dia tahu itulah yang dicintai oleh baginda. Adapun orang yang menambah kalimat itu dan ini dalam selawat, mereka sebenarnya bukan mencintai Rasulullah tetapi mencintai dirinya sendiri sehingga melakukan apa yang dia cintai, bukan apa yang Rasulullah cintai.

30 Bermaksud Allah memuliakan wajahnya. Pujian ini diberikan kepada Ali kerana beliau adalah antara yang pertama memeluk Islam dan sebelum itu dia tidak pernah menyembah apa-apa patung berhala.

31 Hari para sahabat berhimpun di Dewan Bani Sa‘idah untuk melantik khalifah pengganti sementara Ali dan Ahl al-Bait yang lain menguruskan jenazah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

32 Maksudnya, ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh tidak mengambil sikap yang berbeza sebagaimana Syi‘ah. ‘Ali tetap bersama umat Islam, yakni para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman itu.

33 Yakni ‘Ali tidak pernah memahami hadis itu atau ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang lain sebagai menetapkan dirinya dan Ahl al-Bait sebagai khalifah atau imam. Padahal diriwayatkan ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut hadis al-Ghadir, baginda menyebut sambil mengangkat tangan ‘Ali. Sudah tentu kefahaman ‘Ali adalah yang paling baik, sehingga orang yang benar-benar mencintai dan membela ‘Ali akan mengikuti kefahaman beliau terhadap hadis itu mahupun selainnya.

34 Ini kerana Imam Mahdi, sebagaimana tertera dalam hadis-hadis mutawatir dan sekaligus menjadi salah satu dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, adalah dari keturunan Ahl al-Bait. Maka pada ketika itu akan wujud kayu pengukur antara Syi‘ah yang tulen dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tulen, kerana hanya mereka yang tulen yang akan mengikuti Imam Mahdi tersebut.

35 Namun pada hakikatnya ‘Ali tidak mengambil sikap yang sepertimana yang diambil oleh Syi‘ah. Beliau tetap bersama para sahabat dan para sahabat tetap bersama beliau.

Ucapan Syaikh Sa‘id Ramadhan al-Buthi di atas diucapkan oleh beliau dalam majlis Mahjaran al-Imam ‘Ali di London pada Ogos 1991; dinukil secara ringkas, berpisah dan dengan suntingan bahasa dari Sunnah-Syiah Bergandengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 270-275.


PENDEKATAN ANTARA SYI‘AH DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH.

Akhir-akhir ini banyak yang diperkatakan tentang usaha pendekatan antara Syi‘ah dan Ahl al- Sunnah wa al-Jama'ah. Lalu apakah sikap kita, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terhadap usaha ini?36

Saya berkata, usaha ini dialu-alukan dengan syarat persetujuan utama yang dicapai adalah:

1. Syi‘ah memberhentikan celaan mereka kepada semua para sahabat radhiallahu 'anhum.

2. Syi‘ah berhenti daripada memperalatkan sekian-sekian ayat dan hadis sebagai kononnya telah menetapkan Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum sebagai Imam (al-Imamah) bagi umat Islam.

3. Syi‘ah berhenti daripada menyebarkan kisah-kisah sejarah yang palsu berkenaan kezaliman dan kejahilan tiga khalifah yang pertama: Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab dan ‘Usman ibn ‘Affan radhiallahu 'anhum.

4. Para tokoh Syi‘ah memastikan ketiga-tiga syarat di atas dilaksanakan oleh semua pengikut Syi‘ah, daripada khatib kepada penceramah, daripada penulis buku kepada penulis blog.

Syarat yang saya letak di atas bukanlah berat sebelah, tetapi ia bagi mengukur sama ada Syi‘ah benar-benar merupakan pembela Ahl al-Bait atau tidak. Bahkan secara lebih luas, ia sebagai pengukur sama ada Syi‘ah benar-benar menginginkan pendekatan dan pendamaian bersama Ahl al- Sunnah wa al-Jama'ah atau tidak. Ini kerana jika dikaji pelbagai sumber yang sahih, tidak akan ditemui seorang jua Ahl al-Bait mencela para sahabat, mendakwa sekian-sekian ayat dan hadis sebagai telah melantik mereka menjadi Imam dan memfitnah tiga khalifah yang pertama.

36 Umat Islam terbahagi kepada dua kubu terhadap usaha pendekatan ini. Kubu Pertama adalah mereka yang berlebih-lebihan dalam menerimanya sehingga mencairkan – bahkan menghanyutkan – semua dasar-dasar agama yang muktamad semata-mata atas alasan pendekatan antara Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Kubu Kedua adalah mereka yang berlebih-lebihan dalam menolaknya sehingga melarang sekalipun sekadar mengucapkan salam di antara kalangan Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.


Sikap yang benar adalah yang di pertengahan, yakni dialu-alukan usaha pendekatan itu tanpa dicairkan dasardasar agama yang muktamad, yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

dgn editing; http://www.hafizfirdaus.com/


.

No comments: