Wednesday, December 24, 2008

Taisir vs Tasahul

Sumber: http://abuumair1.wordpress.com/2008/12/22/taisir-vs-tasahul/#more-980

Taisir dan Tasahul. Dua perkataan Bahasa Arab ini jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, kedua-duanya berasal dari kata dasar yang sama iaitu MUDAH. Taisir ialah: memudahkan. Tasahul pula ialah: mengambil mudah, atau bermudah-mudahan.

Yang dimaksudkan dengan Taisir dan Tasahul di sini ialah pendekatan seseorang ahli agama, mufti, organisasi fatwa dan lain-lain dalam mengeluarkan fatwa dan hukum.

Metod Taisir (memudahkan) diakui wujud dalam syariat Islam, iaitu dalam ucapan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, “Permudahkan dan jangan memayahkan”. Ungkapan baginda ini direkod dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat yang menyerlahkan bahawa Islam itu mudah dan bukannya payah.

Namun, pendekatan memudahkan tidak harus disalahgunakan hingga terkena pula penyakit mengambil jalan mudah. Contohnya, dalam menyelesaikan suatu permasalahan feqah, seorang mufti tidak boleh sengaja mencari-cari manakah pendapat ulama yang paling ringan dengan hujah Islam itu mudah, dan tidak memayahkan. Sebaliknya, mufti yang amanah mesti mengeluarkan fatwa yang dipercayai bahawa ia adalah hukum yang paling hampir dengan kebenaran. Sudah pasti yang paling sahih dalilnya, dan paling kukuh hujahnya.

Para sarjana Islam telah bersepakat bahawa haram bagi seseorang memilih pendapat-pendapat yang paling mudah dalam segala masalah.

Sulaiman al-Taimiy berkata: “Jika kamu mengambil pendapat mudah dari setiap orang alim, maka terhimpunlah segala keburukan pada kamu”. Ibn Abdil Barr menulis komentar berikut: “Perkara ini adalah ijmak yang aku tidak mengetahui ada perselisihan padanya”. (lihat: Jamik Bayan al-Ilm Wa Fadhlih, hlmn: 2/91).

Al-Auza’i pula menuturkan kata-kata yang lebih keras, “Sesiapa yang mengambil pendapat-pendapat ganjil ulama, maka terkeluar dari Islam”. (lihat: Siyar A’lam an-Nubala 7/125).

Haram juga bagi seseorang mufti bersikap Tasahul (bermudah-mudahan) dalam fatwa, dan haram meminta fatwa dari mufti yang dikenali dengan sikap itu.

Ibn Muflih Al-Hanbali berkata, “Haram bagi mufti bersikap tasahul (bermudah-mudahan) dan haram bertaqlid kepada mufti yang dikenali dengan sikap itu”. (lihat: Zajrul Fuqaha An Tatabbu’ Rukhas al-Fuqaha, hlmn: 66).

Justeru, dalam mengaplikasikan pendekatan Taisir (memudahkan), jangan sampai kepada sikap mengambil jalan mudah, dan memilih mana-mana pendapat yang dilihat paling mudah. Kerana taisir dituntut, dan tasahul dikutuk.

Pendekatan Taisir pula mesti diaplikasikan dengan berlandaskan kepada prinsip-prinsipnya yang telah digariskan oleh ilmuan Islam. Antara buku yang dicadangkan untuk dibaca dalam tajuk ini ialah, karangan syeikhuna Dr Muhammad Sa’d bin Ahmad Al-Yubi, pensyarah Universiti Islam Madinah. Judulnya: ‘Dhawabit Taisir al-Fatwa Wa al-Radd ‘Ala al-Mutasahilin Fiha’.

Sekian.

No comments: