Wednesday, February 18, 2009

Musawah-Part 2


Sumber - Abu Umair

Isu musawah atau kesamarataan antara jantina kembali diperkatakan. Terkini, Sister In Islam (SIS) menganjurkan satu forum untuk membincangkan isu ini secara lebih serius. Antara topik perbincangan ialah: poligami, pembahagian harta pusaka, dan kuasa menceraikan pasangan.

Kumpulan ini mempertikaikan kenapa lelaki dibenarkan mempunyai lebih daripada seorang isteri dalam satu-satu masa, sedangkan wanita tidak? Kenapa dalam faraidh, pewaris lelaki mendapat sekali ganda bahagian harta, berbanding pewaris wanita dalam sesetengah keadaan? Dan kenapa hanya lelaki diberi hak menjatuhkan talak, tidak kepada perempuan? Selain yang tersebut, ada beberapa lagi isu yang diketengahkan.

Apakah benar hukum-hakam tersebut bercanggahan dengan prinsip keadilan Islam? Bagi orang yang beriman, sudah tentu jawapannya tidak. Malahan, ketetapan hukum tersebut sebaliknya menjadi bukti keadilan Islam dan kesesuaian ajaran syariat untuk sepanjang zaman. Sama-sama kita telusuri keindahan ajaran Islam dalam salah satu isu yang dibangkitkan, iaitu poligami.

Poligami

1. Perlu dijelaskan awal-awal bahawa dalam Islam, hukum poligami secara dasarnya ialah harus tanpa ada perselisihan. Hukum ini dinaskan dalam Quran, hadis, dan dinukilkan ijmak para sahabat, tabien, dan seluruh ulama sepanjang zaman.

2. Sebelum kedatangan Islam, ada kelompok manusia yang mengamalkan poligami tanpa had. Dan ada pula kelompok yang mengamalkan monogami dengan mengharamkan mempunyai lebih seorang isteri. Islam datang dengan keadilan, iaitu tidak mengharamkan poligami secara total, tetapi tidak juga membenarkannya tanpa kawalan. Islam menghadkan kepada bilangan 4 isteri sahaja. Disamping mestilah mencukupi syarat-syaratnya.

3. Semua percaya bahawa sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang agak kuat. Sedangkan seorang isteri dalam sesetengah keadaan tidak mampu melayan kemahuan suami, terutama ketika hamil, haidh, melahirkan anak, monopaus awal, dan bermacam-macam halangan lagi. Jika dihalang lelaki ini daripada berkahwin seorang lagi, mungkin akan terjerumus dalam maksiat seperti zina dan liwat.

4. Kaum lelaki lebih terdedah kepada kematian berbanding wanita. Sebab kaum lelaki yang biasa dan berkemampuan meredah bukit bukau, melombong galian, merentas sungai dan laut, dan berbagai-bagai perkerjaan yang terdedah kepada ancaman nyawa. Begitu juga apabila berlaku peperangan, kaum lelaki akan berkurangan secara drastik. Dalam Perang Dunia Ke-II, lebih 20 juta lelaki terkorban. Dalam masa yang sama 20 juta wanita menjadi balu. Fenomena ini mengakibatkan kaum wanita lebih ramai berbanding lelaki. Bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah wanita-wanita yang berlebihan, yang tidak ada suami? Salah satu caranya ialah poligami.

5. Selepas tamat Perang Dunia Ke-II, wanita-wanita Jerman telah mengadakan demontrasi besar-besaran meminta dibenarkan poligami. Akhirnya Kerajaan Jerman meminta bantuan Universiti Al-Azhar untuk menceduk sistem poligami dalam Islam agar dapat dilaksanakan di Jerman.

6. Muktamar Pemuda Sedunia yang diadakan di Jerman pada 1948 mengusulkan agar poligami dibenarkan bagi mengatasi masalah lebihan wanita dan kekurangan lelaki. Ini adalah contoh penerimaan orang bukan Islam terhadap ajaran poligami kerana bertepatan dengan fitrah dan keperluan.

7. Rata-rata setiap insan inginkan zuriat. Tetapi adakalanya, seorang isteri tidak mampu melahirkan anak samada kerana sakit atau mandul. Dalam situasi seperti ini, Islam tidak membiarkan lelaki ini menjadi mangsa keadaan. Dibenarkan berkahwin lain bagi mencapai keinginan mempunyai zuriat. Tidakkah cara berpoligami lebih baik, berbanding jika lelaki itu menceraikan isterinya yang malang, kemudian berkahwin lain?

Kesimpulannya, kalau kita menggunakan akal secara waras, kita pasti dapat melihat keindahan Islam dan keadilan Allah dalam ajaran poligami. Sekaligus, terserlah kedangkalan hujah kelompok manusia yang mempertikaikan ajaran syariat. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan mereka.

No comments: