Oleh Abu Umair
“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat.
Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.
Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.
Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:
“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.
Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…
Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).
Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.
Khilaf Yang Tidak Muktabar
Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.
Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:
“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.
Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:
“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).
Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.
Khilaf Yang Muktabar
Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.
Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).
Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).
Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.
Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.
Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.
Wallahu A’lam.
http://abuumair1.wordpress.com/2009/02/01/tidak-boleh-ingkar-masalah-khilaf/
The Fall Of Barsisa: Lessons On Spiritual Corruption And The Abuse Of
Religious Authority
-
In a world where spiritual leaders are often held in high regard, stories
of their moral failings can be particularly distressing. These individuals
are ...
No comments:
Post a Comment