Wednesday, September 3, 2008

Mencari Tuhan



Sesiapa sahaja yang memiliki akal yang waras pasti akan mencari hakikat di sebalik kehidupan yang dirasai dan disaksikannya. Jiwa insan yang sempurna tidak akan terhenti bertanya tentang rahsia kehidupan ini. Allah telah menfitrahkan insan iaitu memberikan sifat di dalamnya jiwanya perasaan ingin mengetahui. Apatah lagi jika sesuatu itu berkait langsung dengan diri insan itu sendiri.Berbagai perkara sering kita lihat dalam kehidupan ini, sebahagian daripadanya kita gagal memberikan jawapan yang tepat mengenainya jika tidak dibimbing oleh cahaya petunjuk yang sebenar.

Sebab itu jika diandaikan ada seorang bayi yang dihanyutkan air sehingga ke sebuah pulau yang tiada penghuni dari keturunan manusia. Sekiranya dia ditakdirkan hidup sehingga dewasa dan akalnya tidak cacat pasti dia sering bertanya dalam dirinya bagaimana dia boleh wujud di alam ini atau hadir ke pulau tersebut. Sekalipun tanpa bimbingan agama dia tetap akan bertanya siapakah yang menjadikan dirinya dan alam yang dia lihat. Mengapa mesti dia hidup. Perasaan dan jiwanya akan memberontak bertanya tentang hakikat diri. Sehingga akhirnya, jika jiwanya tidak dibimbing dengan hidayah tentu dia akan mengagak objek-objek tertentu yang dikagumi atau digeruninya sebagai punca pergantungan harapan atau dalam kata lain sebagai tuhan dalam kehidupannya. Begitu bermulanya agama yang tidak dibimbing oleh wahyu sebenar.

Sebabnya ini adalah sifat yang sudah wujud dalam jiwa insan iaitu keinganan mengetahui rahsia alam sekaligus desakan jiwa untuk mencari tuhan.

Allah menggambarkan hal ini di dalam al-Quran melalui watak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s., firman Allah dalam menceritakan kisah ini:Maksudnya:

Dan demikian itu kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan kami yang terdapat di langit dan di bumi agar dia termasuk di dalam orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Ini adalah tuhanku". Tetapi apabila bintang itu hilang dia berkata "aku tidak suka kapada yang lenyap". Kemudian apabila dia melihat bulan terbit dia berkata "Ini adalah tuhanku". Namun apabila bulan itu hilang dia berkata: "Sesungguhnya jika tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku tentu aku termasuk dalam golongan yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari terbit dia berkata, "Inilah tuhanku, ini lebih besar". Namun apabila matahari itu hilang, dia berkata "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu semua sekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada tuhan yang mencipta langit dan bumi dalam keadaan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan termasuk dalam golongan yang mempersekutukan tuhan.
[Surah al-An`am ayat 75-79]

Demikian Al-Quran menggambarkan peribadi insan yang waras dan sempurnaan nilai keinsanannya iaitu senantiasa mencari tuhan yang sebenar. Jika insan tidak dibimbing oleh petunjuk dari tuhan yang sebanar maka pasti dia akan tersesat.

Manusia dan persoalan

Insan yang waras senantiasa menimbulkan tanda tanya tentang tuhan atau dalam kata lain bertanya "siapakah yang telah menjadikan dirinya dan alam di sekelilingnya". Akal yang waras meyakini bahawa dirinya tidak muncul dengan kehendaknya tetapi tentulah adanya kuasa yang maha agung yang menciptakannya. Tidak terhenti untuk itu sahaja, dia tentu juga merasai keperluan diri bergantung kepada zat yang agung itu kerana dalam hidup dia pasti menghadapi peristiwa-peristiwa yang terjadi tanpa pilihan atau kemampuannya. Perasaan mencari tempat pergantungan akan terus timbul dan keperluan kepada pertolongan tuhan akan benar-benar dirasai oleh setiap insan. Seterusnya, apabila insan memerlukan tuhan tentu insan ingin mengetahui kehendak atau tuntutan tuhan terhadap dirinya. Ini bagi memboleh insan merasai tuhan bersamanya dan merestuinya. Insan melihat berbagai kejadian dan peristiwa di alam ini, ada golongan yang baik dan ada pula yang jahat. Ada golongan golongan yang zalim dan ada pula yang dizalimi. Ini sekali lagi mendesaknya bertanya "Apakah kesemua ini akan berlaku begitu sahaja. Apakah yang zalim tidak ada sebarang tindakan tuhan terhadapnya sedangkan dia telah menzalimi hamba tuhan yang lain. Apakah selepas adanya penindasan dan penginayaan maka hidup pun hilang begitu sahaja. Apakah sama antara hamba yang ingin mentaati tuhan dengan yang memusuhi tuhan?

Demikianlah berbagai persoalan timbul yang mendesak jiwa insan sekaligus membawa sekali lagi insan bertanya ke manakah perginya manusia selepas berakhirnya kehidupan di dunia ini...

Perumpamaan Yang Menarik

Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti telah memberikan perumpamaan yang menarik dalam bukunya Madkhal ila Fahm al-Juzur katanya: "Apa pendapat kamu mengenai seorang insan yang membuka kedua matanya selepas tidur yang panjang, dia yang sebelum ini berada di atas katil di dalam bilik tidurnya, tiba-tiba dia dapati diri berada di dalam salah satu gerabak keretapi. Dia dibawa oleh suatu perjalanan ke arah yang dia sendiri tidak tahu. Merentangi bukit-bukau dan lurah yang dia tidak pernah dia lihat dan tahu mengenainya.

Siapakah yang membawa dan meletakkan dia di dalam keretapi tersebut? Bilakah perkara ini bermula? Siapakah yang sedang memandunya? Siapakah pula yang menyusun dan mengatur perjalanannya? Apakah yang orang tersebut mahu daripadanya secara peribadi selepas ini?

Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu semua ini.....!
Apakah anda berpendapat insan berkenaan boleh menutup fikiran dari segala persoalan tersebut? Bolehkah dia merehat urat sarafnya dari terus mendesak dan mencari jawapan mengenai apa yang dia tidak tahu itu?. Bolehkah kemudiannya dia terus asyik berseronok suka dengan melihat jalanan yang cantik dan pandangan yang asing?

Sama ada gerabak tersebut dipenuhi dengan peralatan mewah dan terhias dengan segala perkara yang melalaikan, atau ianya dipenuhi dengan perkara yang menduka dan menyusahkan, namun apakah mungkin untuk dia menjadikan semua itu melupakan dia dari apa yang didesak kepadanya oleh tekanan fikiran dan akalnya? Juga dari kerisauan dan kekeliruan disebabkan keadaan yang tanpa pilihannya, dia dalam lautan kejahilan.

Sekalipun demikian, namun masalah tersebut adalah masih kecil lagi terhad, bilamana keluasan keretapi tersebut adalah terhad dan dalam lingkungan alam yang diketahui tanda-tanda dan kebiasaanya. Ini kerana, bagaimana sekalipun ia bergerak ke timur atau ke barat ia sama sekali tidak akan keluar dari ruang lingkupnya dan tidak akan melepasi melainkan dalam lingkungan bumi.

Namun masalah tersebut bertukar menjadi besar dan begitu besar bilamana keretapi tersebut adalah alam ini keseluruhannya. Bilamana pergerakannya itu adalah merupakan keadaan rangkaian kehidupan insan....[m.s. 6-7, Cetakan Dar al-Fikr al-Mu`asir, Lubnan]

Demikian Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti cuba membayangkan keadaan insan yang sejak kecil membuka matanya dan melihat alam serta pergerakan di sekelilingnya. Juga yang lebih penting melihat dirinya sendiri serta rangkaian perjalanan hidupnya. Apakah tidak terdesak jiwanya untuk bertanya tentang hakikat diri, apakah keadaan yang sedang dihadapinya dan apakah kesudahannya nanti? Mungkinkah pengaruh suasana sekelilingnya boleh atau mampu melupakan dia untuk mencari jawapan bagi erti kehidupannya? Kalaulah ada insan yang demikian tentulah dia sejahil-jahil manusia secara mutlak kerana dia telah lalai memikirkan perkara yang menjadi dasar insan berakal.

Petikan dari artikel Dr. MAZA, Mengapa insan mencari agama.

No comments: