Saturday, September 13, 2008

Membaca Doa Qunut Di Dalam Solat Witir

Perkataan/kata “Qunut” digunakan untuk beberapa makna, di antaranya adalah berdiri, diam, rutin beribadah, doa, tasbih, dan khusyu’. Menurut istilah, ialah nama untuk suatu doa yang diucapkan dalam solat pada waktu tertentu di saat berdiri. (al-Futuhat ar-Rabbaniyyah ala al-Adzkar an-Nawawiyah, 2/286. Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Di antara dalil yang menjadi dasar disunnahkan doa qunut di dalam solat witir adalah,Hadis al-Hasan bin Ali, ia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajariku beberapa kalimat yang aku baca dalam witir, “Allahummah dini fi man hadait... (dan seterusnya)”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)

Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat Witir, lalu beliau berqunut sebelum ruku’.” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)

Menurut Ibnu Qudamah, “Bahawa doa qunut dianjurkan pada rakaat terakhir dalam solat witir dan semua solat sunnah. Inilah pendapat yang disebutkan sebahagian sahabat kami dalam mazhab. Ini adalah pendapat atau riwayat Ibnu Mas’oud, Ibrahim, Ishaq, dan para ulama ra’yi (rasionalis)....... Dalam riwayat Mawardzi, imam Ahmad telah mengatakan, “Aku berpendapat bahawa qunut tersebut dibaca pada pertengahan akhir bulan Ramadhan. Selain itu aku yakin bahawa Qunut adalah doa dan kebaikan.” Alasan pendapat imam Ahmad ini adalah sebuah riwayat Ubay, bahawa Rasulullah sering mengerjakan solat witir dan membaca doa qunut sebelum ruku’. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, dan Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007, Jil. 2, m/s. 543-544)

Menurut Sheikh al-Albani, “... Kami katakan (perbuatan membaca qunut di dalam solat witir) kadang-kadang (bukan suatu yang dilakukan selalu), sebab bila Nabi selalu melakukannya, tentu para sahabat akan meriwayatkan hal tersebut. Memang hanya Ubay bin Ka’ab yang meriwayatkan hal itu dari Nabi. Oleh kerana itu, hal ini menunjukkan bahawa beliau melakukannya kadang-kadang dan hal ini tidak wajib. Inilah yang menjadi pendirian jumhur ulama. Hal ini juga diakui ahli fiqh, Ibnul Hamam dalam kitab Fathul Qadir (1/306, 259, dan 360). Beliau menyatakan bahawa mewajibkan qunut dalam witir adalah pendapat yang lemah yang tidak berasaskan dalil. Hal ini merupakan sikap lapang dada beliau...” (Lihat: Sifat Shalat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Terbitan Media Hidayah, Cet. Kedua – 1996M, oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, m/s. 224)


Doa Qunut Dibaca Pada Sebelum Ruku’ Atau Selepas Ruku’?

Dari imam Ahmad disebutkan bahawa ia mengatakan, “Aku berpendapat doa qunut dibaca setelah bangun dari ruku’. Apabila seseorang membaca qunut sebelumnya, itu pun diperbolehkan.

Pendapat ini didukung oleh Ayyub as-Sakhtiani. Hal ini adalah berdasarkan riwayat Humaid, bahawa Anas pernah ditanya tentang doa qunut dalam solat subuh. Ketika itu dia menjawab, “Kami biasa membaca doa qunut sebelum ruku’.”Menurut imam Malik dan Abu Hanifah, doa qunut dibaca sebelum ruku’. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, Tahqiq oleh: Dr. M. Syarafuddin Khathab, Dr, Sayyid Muhammad Sayyid, Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq. Terbitan Pustaka Azzam, Cet. Pertama – Jun 2007, Jil. 2, m/s. 543-544)

Hadis-hadis yang mendukung kedua-dua pendapat ini adalah sebagaimana berikut,Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat Witir, lalu beliau berqunut sebelum ruku’.” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ al-Ghalil)Diriwayatkan dari ‘Ashim, ia berkata: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik tentang qunut, maka ia menjawab, “Qunut memang pernah dikerjakan”. Aku bertanya lagi, “Adakah seblum ruku’?” Ia menjawab, “Itu dusta. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah qunut sesudah ruku’ selama sebulan. Aku melihat beliau mengutus satu rombongan yang beranggotakan para penghafal al-Qur’an sebanyak lebih kurang tujuh puluh orang kepada suatu kaum dari kalangan musyrikin yang ternyata mereka diperangi, padahal sebelumnya antara mereka dengan Rasulullah terdapat perjanjian damai. Maka, Rasulullah berqunut selama satu bulan untuk mendoakan keburukan ke atas mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membaca setelah selesai dari bacaan solat Subuh dan bertakbir serta mengangkat kepalanya: “Sami’Allahu liman hamidah. Rabbana walakal hamdu”. Kemudian beliau membaca ketika masih dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah Walid bin Walid...”.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga hadis dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membaca qunut selama satu bulan berturut-turut pada waktu Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’, dan solat Subuh di akhir setiap solat setelah mengucapkan “Sami’Allahu liman hamidah. Rabbana walakal hamdu” pada rakaat terakhir untuk mendoakan orang-orang yang masih hidup dari kalangan Bani Sulaim dan mendoakan kebinasaan Ri’lin, Dzakwan, dan Ushaiyah. Makmum di belakang beliau mengaminkan doa beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud)

Jika diperhatikan, qunut yang dilakukan sebelum ruku’ adalah qunut dengan doa yang bersifat umum dan dilakukan di dalam solat witir sebagaimana hadis dari al-Hasan bin Ali, manakala qunut yang dilaksanakan selepas ruku’ adalah qunut yang doanya bersifat khusus bagi mendokan kehancuran pihak musuh dan keselamatan kaum muslimin (qunut Nazilah) yang dilaksanakan di dalam solat fardhu.Dalam hal ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata di dalam Fathul Bari (2/569): “Kesimpulan riwayat dari Anas bin Malik bahawa qunut kerana suatu hajat (doa yang bersifat khusus) dilakukan setelah ruku’. Tidak ada riwayat dari beliau yang menyelisihi hal ini. Adapun yang dilakukan tanpa hajat, menurut dalil sahih, qunut dilakukan sebelum ruku’. Telah diperselisihkan tentang amalan sahabat dalam hal ini. Secara zahirnya bahawa perselisihan ini adalah perselisihan (khilaf) yang bersifat mubah (harus/tidak mengapa). (Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Cet. Kedua – Mac 2007, oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Berkenaan Qunut Nazilah ini Sheikh Dr. Sa’id Wahf bin Ali al-Qahthani berkata,“Telah diriwayatkan dengan sahih dari nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau melakukan qunut Nazilah selama sebulan, berdoa melaknat satu kaum. Teriwayat dengan sahih bahawa beliau berdoa untuk kaum yang lemah dari kalangan para sahabat beliau yang ditawan oleh satu kaum sewaktu mereka berhijrah. Ketika penyebab beliau melakukan qunut tersebut sudah tidak ada lagi, beliau pun meninggalkannya. Nabi tidak pernah melakukan qunut secara rutin dalam solat wajib yang manapun, solat subuh atau solat yang lainnya. Demikian juga halnya dengan para Khulafa’ur Rasyidin. Mereka melakukan qunut tersebut dengan cara yang sama. Mereka tidak pernah melakukannya secara rutin. Namun jika penyebab qunut itu sudah tidak ada, mereka meninggalkan qunut tersebut. Apa yang sunnahnya (yang tsabit dari sunnah) adalah melakukan qunut Nazilah dan berdoa berdasarkan kepada keadaan, iaitu untuk mendoakan kebaikan bagi suatu kaum, atau untuk melaknat mereka, dan disesuaikan juga dengan bencana yang terjadi.Diriwayatkan dengan sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melakukan qunut pada solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’. Namun perlaksanaan di dalam solat Subuh dan Maghrib adalah lebih ditekankan. Ketika penyebab qunut itu sudah tidak ada, beliau pun meninggalkannya, termasuk juga pada solat subuh.” (Kumpulan Shalat Sunnah Dan Keutamaannya, oleh Sheikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Darul Haq, Cet. Ketujuh – Feruari 2007M, m/s. 75)


Lafaz Doa Qunut Witir

اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، [وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ]، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
“Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah aku perlindungan (dari penyakit dan apa yang tidak disukai) sebagaimana orang yang telah Engkau lindungi, sayangilah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sayangi. Berilah berkah apa yang Engkau berikan kepadaku, jauhkan aku dari kejelekan apa yang Engkau takdirkan, sesungguhnya Engkau yang menjatuhkan qadha, dan tidak ada orang yang memberikan hukuman kepada-Mu. Sesungguhnya orang yang Engkau bela tidak akan terhina, dan orang yang Engkau musuhi tidak akan mulia. Maha Suci Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.” (Hadis Riwayat Ahmad, ad-Darimi, al-Hakim dan al-Baihaqi. Doa yang ada di antara dua kurung, adalah menurut riwayat al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah dan Irwa’ul Ghalil)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءَ عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Ya, Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan kerelaan-Mu dari kemarahan-Mu, dan dengan keselamatan-Mu dari siksa-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari ancaman-Mu. Aku tidak mampu menghitung pujian dan sanjungan kepada-Mu, Engkau adalah sebagaimana yang Engkau sanjungkan kepada diri-Mu sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah, dan Irwa’ul Ghalil)

اَللَّهُمَّ إيـَّاكَ نَعْبُدُ، وَلَكَ نُصَلِّيْ وَنَسْجُدُ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ، نَرْجُوْ رَحْمَتَكَ، وَنَخْشَى عَذَابَكَ، إِنَّ عَذَابَكَ بِالْكَافِرِيْنَ مُلْحَقٌ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَعِيْنُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ، وَنُثْنِيْ عَلَيْكَ الْخَيْرَ، وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ، وَنَخْضَعُ لَكَ، وَنَخْلَعُ مَنْ يَكْفُرُكَ
“Ya Allah! Kepada-Mu kami menyembah. Untuk-Mu kami melakukan solat dan sujud.Kepada-Mu kami berusaha dan melayani. Kami mengharapkan rahmat-Mu, kami takut pada siksaan-Mu. Sesungguhnya siksaan-Mu akan menimpa pada orang-orang kafir. Ya, Allah! Kami minta pertolongan dan minta ampun kepada-Mu, kami memuji kebaikan-Mu, kami tidak ingkar kepada-Mu, kami beriman kepada-Mu, kami tunduk padaMu dan berpisah pada orang yang kufur kepada-Mu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra, sanadnya menurut pendapat al-Baihaqi adalah sahih. Al-Albani menilainya sahih di dalam Irwa’ul Ghalil dengan menyatakan: “Sanadnya sahih dan mauquf pada Umar”)


oleh :nawawi, artikel asal "Menutup Malam Dengan Witir"
gambar: Qunut Nazilah sewaktu Munajat Perdana Rakyat Kelantan.

3 comments:

fadezek said...

Imam Muhammad Ibn Nasr dlm kitabnya Qiyamul-lail meriwayatkan, seorg sahabat Sa'id bin Jubair ra pernah d ty mengenai permulaan bacaan qunut d pertengahan ramadhan.Beliau menjwb."Umar bin Khattab ra tlh mengirim sepasukan tentera perang.lalu berada dlm posisi sulit sehingga mrk diancam ketakutan.Tatkala itu masuk separuh akhir ramadhan,maka Umar pun melakukan qunut dan mendoakan mrk"
(diutarakan oleh imam muhammad bin ali bin muhammad asy-shaukani-Nail ul Authar,vol3 ms 101)
Jadi disimpulkan doa qunut yang dibc pd zaman pemerintahan Umar adalah Qunut nazilah.dgn itu amalan doa qunut y dbc hy dketika separuh akhir ramadhan perlu dilihat & dianalisa semula.

petikan: hafiz firdaus abdullah dlm buku kecilnya 'menangani persoalan doa qunut:dibaca atau tidak'.(jahabersa:ms 26)


jadi jelas sebenarnya byk khilafnya mengenai qunut ni,berbincangan mengenai perkara yang sama jg ada disini

fadezek said...

ayo link broken.sekali lg eh.maaf.
disini

Poison Ivy said...

ada artikel baru ttg qunut di al-ahkam terjemahan dari multaqa ahl hadeeth.boleh dibaca juga utk pertambahan maklumat.